Al-Haq menolak sekeras-kerasnya terhadap pengiktirafan Kementerian Pertahanan Israel di bawah undang-undang anti-keganasan domestik Israel 2016 yang bertarikh 19 Oktober 2021, di mana Al-Haq dan lima organisasi masyarakat sivil Palestin telah diiktiraf sebagai “organisasi pengganas”, dan menyeru solidariti dan langkah-langkah konkrit daripada masyarakat antarabangsa supaya pengiktirafan tersebut boleh dibatalkan dengan segera.
Tuduhan tersebut adalah tidak berasas, ia merupakan suatu serangan peningkatan yang membimbangkan dan tidak adil terhadap rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan kebebasan, keadilan dan hak untuk menentukan nasib sendiri. Tindakan Israel untuk memburuk-burukan secara meluas dan sistematik terhadap NGO hak asasi manusia Palestin dan pembela hak asasi manusia adalah bertujuan untuk mengharamkan, menindas, mendiamkan dan menguras kerja dan sumber mereka. Tambahan lagi, penggunaan undang-undang domestik Israel secara tidak sah ke atas kawasan Palestin yang dijajah (OPT) berfungsi untuk meneruskan rezim peneroka-penjajah dan apartheid di mana ianya terdapat diskriminasi kaum yang telah diinstitusikan dan penguasaan secara keseluruhan ke atas rakyat Palestin.
Al-Haq telah berjuang selama beberapa dekad untuk menamatkan dasar dan amalan penerokaan-penjajahan Israel yang tidak sah, di mana ia telah bermula sejak tahun 1948 dan telah menafikan hak rakyat Palestin yang tidak boleh dipisahkan iaitu hak untuk menentukan nasib sendiri. Al-Haq adalah salah satu organisasi Palestin terkemuka, ia menyeru untuk kebertanggungjawaban dan mengakhiri impunitas Israel dalam jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Langkah peningkatan Israel untuk menghukumkan Al-Haq dan organisasi masyarakat sivil bukanlah satu kebetulan, ia diambil sebaik sahaja Mahkamah Jenayah Antarabangsa membuka siasatan terhadap jenayah Israel dalam Situasi di Palestin.
Oleh itu, Al-Haq akan terus berusaha tanpa lelah untuk memastikan pelaku yang bertanggungjawab ke atas kekejaman Israel akan memikul tanggungjawabnya.
Sejarah pembelaan hak asasi manusia dari Afrika ke Amerika Latin dan tempat-tempat lain di dunia ini telah menunjukkan bahawa cara dan kaedah penindas tidak mempunyai sebarang had. Al-Haq sebagai pembela hak asasi manusia tidak akan dihalang ataupun didiamkan dalam usahanya untuk membebaskan Palestin dari rezim apartheid dan peneroka-penjajah Israel. Kami yakin terhadap solidariti daripada rakan-rakan kami dan rakan kongsi kami dari seluruh dunia untuk menghadapi halangan-halangan yang diberikan.
Dalam usaha untuk memperjuangkan keadilan dan kemampuan untuk hidup dengan bermaruah, perjuangan Palestin merupakan perjuangan universal untuk menentang penindasan dan menolak penafian hak untuk menentukan nasib sendiri. Kami tetap teguh dalam usaha untuk memperjuangkan masa depan yang bermaruah untuk rakyat Palestin dan membebaskan Palestin daripada penjajahan Israel yang menyalahi undang-undang.
Keadilan akan ditegakkan.